Wednesday, June 1, 2011

wahai wanita!aktif.aktif.aktif.

petikan dari KOSMO! 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR 


Kekal aktif ketika haid



Kitaran haid anda normal dan kadar pendarahannya seperti biasa? Jadi, jangan ragu-ragu untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti bersukan. 

 
PRESTASI seseorang terganggu jika mengalami pendarahan yang banyak. 

KENYATAAN yang mengatakan bahawa wanita tidak boleh bergiat aktif ketika haid adalah mitos semata-mata. Sebaliknya jika kitaran haid seseorang wanita itu normal dan kadar pendarahannya seperti biasa, mereka masih boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bersenam, bersukan dan sebagainya. 

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan, haid bukan penghalang untuk seseorang wanita melakukan aktiviti lasak. 

 
WANITA yang mempunyai hormon tidak sekata akibat kitaran haid tidak normal dan menopaus lebih bermasalah. 

"Wanita bebas untuk melakukan apa sahaja ketika haid. Sama ada mereka ingin bersenam, bersukan atau melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan sebagainya, ia terpulang kepada mereka. "Cuma jika seseorang wanita itu mengalami kitaran haid tidak normal atau mengalami pendarahan yang banyak, maka ia sedikit sebanyak akan mengganggu prestasi wanita berkenaan. 

"Namun jika haid mereka normal setiap bulan, ia tidak menjadi masalah," kata Jamiyah kepada KOSMO! ketika dihubungi. Tambah Jamiyah, aktiviti lasak yang dilakukan oleh seseorang wanita, bukan punca yang menyebabkan pendarahan mereka bertambah atau tersekat-sekat. 

"Sebenarnya mengikut sains, darah tersebut terkumpul di bahagian atas vagina dan jika ia keluar dalam bentuk berketul-ketul dalam jumlah yang banyak, ia merupakan satu proses semula jadi. "Oleh itu saya ingin tekankan bahawa aktiviti lasak yang dilakukan seseorang wanita bukanlah penyebab kepada masalah tersebut." 

Selain itu, walaupun kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal wanita akan merosot apabila tiba waktu haid, ia tidak dihadapi oleh semua wanita. Hormon yang dirembeskan sewaktu tiga peringkat kitaran haid mungkin mencipta perbezaan dalam prestasi yang dipamerkan. 

Antara hari pertama hingga hari ke-13, tahap estrogen lebih rendah. Tetapi apabila folikel mula membesar dalam ovari, tahap estrogen akan meningkat. Ketika proses pengovulan, biasanya pada hari ke-14, lebih banyak hormon akan dibebaskan. Jika kehamilan tidak berlaku, tahap progesteron meningkat manakala tahap estrogen mula menurun. 

 
SEIMBANGKAN sumber yang hilang dengan pemakanan sesuai. 

Dalam terma aturan senaman, sebahagian wanita melaporkan bahawa dua minggu pertama kitaran haid, rentak kerja atau prestasi mereka adalah lebih baik sementara dalam tempoh dua minggu berikutnya, ia menjadi lebih perlahan berbanding sebelumnya. 

Individu yang berbeza terjejas oleh faktor hormon pada tahap berlainan. Menurut Pensyarah dan Penyelidik Psikologi Senaman di Universiti Leeds, England, Dr. Karen Birch, beberapa individu memberi tindak balas teruk kepada perubahan hormon. 

Tetapi ia tidak terjejas buat atlet profesional. Sebaliknya wanita yang mempunyai hormon tidak sekata akibat kitaran haid tidak normal atau menopaus lebih berbermasalah. Rosalyn Carbon, doktor untuk pasukan triatlon Britain bersetuju bahawa atlet profesional kurang terjejas disebabkan oleh perubahan hormon. 

"Melalui pengalaman saya, atlet profesional kurang menghadapi masalah akibat perubahan hormon berbanding wanita dalam populasi umum. Sebahagian wanita merasakan mereka perlu berehat ketika haid tetapi ada juga yang tidak. 

"Kebanyakan atlet wanita mendapati, disebabkan haid, mereka kurang berminat bertanding dalam kejohanan utama. Bagi wanita tersebut, kami cadangkan supaya mereka mengambil pil kontraseptif. "Mereka juga boleh mengambil ubat yang disahkan penggunaannya untuk atlet yang tidak mahu pendarahan mengganggu mereka dalam pertandingan di peringkat kebangsaan." 

Di samping itu, wanita yang mengalami kitaran haid, perlu mengambil makanan yang berkhasiat untuk mengurangkan simptom prahaid dan membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik. Menurut Jamiyah lagi, wanita yang datang haid kehilangan zat besi. Namun jumlahnya tidak banyak. 

"Kebiasaannya, seseorang wanita itu secara purata akan kehilangan 80 mililiter (ml) darah setiap bulan ketika haid. Jumlah zat besi yang hilang yang terdapat dalam darah itu pula amat sedikit. "Bagi wanita yang mengalami pengaliran darah yang banyak, contohnya melebihi 80 ml untuk setiap kitaran haid, ia juga masih boleh dikategorikan sebagai kehilangan zat besi dalam jumlah sedikit. 

"Bagaimanapun, tidak salah jika seseorang wanita itu mengambil langkah untuk menambah atau menyeimbangkan zat besi yang hilang dengan mengambil pemakanan yang sesuai. "Contohnya, mereka digalakkan memakan sumber makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging, ayam, organ-organ dalaman seperti hati, limpa atau sayur-sayuran hijau. 

"Tetapi untuk makluman, sayur-sayuran hijau seperti bayam atau kekacang mempunyai kadar kandungan zat besi yang amat sedikit. 

 
KITARAN haid yang normal tidak menjejaskan mereka yang melakukan apa-apa aktiviti. 

"Oleh itu jika wanita yang kehilangan banyak darah, mereka disyorkan supaya mengambil pil zat besi untuk mempercepatkan proses pertambahan nutrien tersebut. "Bagaimanapun harus diingatkan bahawa jika mereka mengambil pil itu sejam sebelum makan, mereka harus menghindari telur, tauhu, kubis, teh dan susu bagi mengelak kehilangan zat besi yang ada dalam pil tersebut. 

"Sia-sia sahaja jika mereka mengambil pil itu tetapi makan makanan seperti yang disebut di atas kerana ia akan bercantum dan diserap oleh usus," jelas Jamiyah. Apa yang pasti, ujar Jamiyah setiap wanita mempunyai persepsi berbeza mengenai haid dan mereka sebenarnya banyak terpengaruh dengan mitos yang mengatakan tidak boleh bergiat aktif dalam tempoh tersebut.

No comments:

Post a Comment